ISLAM SEBAGAI AGAMA FITRAH YANG MENYELESAIKAN SEMUA MASALAH

Sesungguhnya Islam merupakan agama Allah yang lengkap, dapat memenuhi keperluan manusia dan menyelesaikan masalah mereka tanpa batasan masa, tempat dan suasana. Di dalamnya terkandung keistimewaan yang tidak ada pada yang lain, di mana keseluruhan keistimewaan yang ada pada Islam itu tidak terhingga dan tidak termuat dalam kertas yang ringkas ini. Cuma kita cuba bincang secara kasar sebagai panduan, untuk mencari gali lebih mendalam dan menyakinkan kita.

Di antara keistimewaannya, seperti berikut:

1- Rabbani

Keistimewaan yang paling utama, ialah Rabbani dari segi sumber dan matlamatnya. Di mana dari segi sumbernya bahawa Islam ini bukannya ciptaan manusia yang lemah dan terpengaruh dengan manusia, tempat, keadaan, kebudayaan, hawa nafsu, tetapi ianya ciptaan Allah, Tuhan Pencipta seluruhnya. Yang mencipta manusia Maha Mengetahui fitrah manusia dan apakah yang sesuai dengan fitrah itu.

Firman Allah Ta’ala;

(Surah al Mulk 14)

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia. melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu.
(Surah al-Dzariyat: 50)

2. Kemanusiaan Sejagat

Islam berdasarkan untuk kemanusiaan sejagat, merupakan hidayah untuk seluruh manusia, tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit dan tempat. Kerana Islam itu ciptaan Allah maka ia tidak dipengaruhi oleh perasaan manusia yang ada di dalam dirinya mementingkan peribadinya, keturunan dan tempat.

3. Keadilan Mutlak

Ke’adilan yang ditegakkan oleh Islam itu, untuk seluruh tanpa memandang taraf. Dan melaksanakan semangat persaudaraan di kalangan mereka di samping memelihara kepentingan agama, maruah, nyawa, ‘aqal dan harta. Matlamatnya ialah kebahagiaan manusia dunia dan akhirat, sebagaimana dinyatakan oleh para fuqaha’. Bukanlah matlamat Islam untuk kepentingan golongan tertentu atau bangsa yang tertentu sahaja atau mementingkan material sehingga mencuaikan sudut rohani dan akhlaq. Mementingkan dunia tanpa akhirat seperti teori ciptaan manusia. Atau sebaliknya seperti agama yang hanya menekan aspek rohani.

Apa yang tersebut di atas tidak dapat dijalankan oleh ciptaan manusia. Dan untuk memenuhi itu semua memerlukan Tuhan Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, dan Maha Rahmat, kerana manusia itu hanya memandang dari aspek yang sempit dan terbatas.

4. Perseimbangan Di Antara Individu Dan Masyarakat

Melaksanakan kepentingan individu tanpa menjejaskan masyarakat dan sebaliknya. Tanpa menjejaskan hak itu untuk semua pihak, Islam berbeza dengan Liberalisme dengan cabangnya. Yang memberi hak kepada individu sebagaimana dakwaan mereka, tetapi kadang-kadang mencabul kepentingan masyarakat dan tidak pula seperti sosialisme yang kononnya memperjuangkan kepentingan masyarakat walaupun dengan cara tidak menghormati hak-hak individu.

Contoh yang paling terang ialah penyelesaian Islam berhubung dengan pemilikan, di mana Islam mengharuskan milik perseorangan kerana ianya merupakan dorongan fitrah manusia dan melambangkan kebebasan manusia dan keperibadiannya di mana dia boleh memiliki dan menggunakan apa yang dimiliki.

Firman Allah bermaksud:
Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta-benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

(Surah al-Hadid: Ayat 7)

Di samping itu Islam meletakkan ikatan yang banyak di atas milik perseorangan. Untuk memelihara kepentingan masyarakat supaya tidak menjadi milik mutlak seperti kapitalis, Islam mewajibkan peraturan tertentu dari segi jalan mencari harta, menggunakan harta, memiliki harta, sama ada melalui peraturan yang berlandaskan Iman dan Akhlaq atau kuasa-kuasa yang dibenarkan kepada pemerintah. Di mana cara yang dilaksanakan itu untuk menegakkan semangat persaudaraan kasih sayang dan keadilan di kalangan manusia, kerana manusia hanya pemegang amanah sahaja. Bukannya pemilik yang sebenar.

5. Teguh Dan Matang

Peranan Islam ialah membetulkan apa yang salah, meluruskan yang bengkok bukannya untuk tunduk kepada batil dengan nama perkembangan masa dan masyarakat di samping mempunyai dasar umum yang boleh mengikuti setiap perkembangan dan perubahan.

Dalam perkara yang tidak boleh diselesaikan oleh ‘aqal manusia, Islam memberi kata putus di mana manusia tidak perlu ijtihad, seperti ‘ibadah, hukum hudud yang ada nas kerana masalah itu tidak mungkin diselesaikan dengan ijtihad. Di samping terdapat dasar umum yang teguh dan tidak berganjak serta ‘ulama’ berijtihad. Berpandukan kepada fahaman mereka yang boleh mengikuti perkembangan hukum syarak dan hidup manusia, berpandukan kepada polisi syara’ yang dibenarkan oleh Islam (al-Siyasah al-Syar’iyyah).

Berpandu kepada apa yang ada sekarang, kita dapati bahawa ummat kita tidak perlu lagi kepada penyelesaian yang diimport sama ada secara total atau secara dicelup dengan cap Islam, kerana gejala-gejala yang berlaku di negara-negara yang melahirkan penyelesaian itu sudah cukup dijadikan ukuran. Di samping apa yang pernah kita laksanakan selama ini satu demi satu telah kita lihat natijahnya. Kerana keseluruhan penyelesaian asing merupakan bahan ujian yang telah gagal atau yang sedang diuji dan belum ditentukan kejayaannya, tetapi kelemahan-kelemahan manusia yang ada pada pencipta penyelesaian itu tidak harus dinafikan.

Islam yang wajib dikemukakan dan dihayati merupakan al-Din yang telah membuktikan kemampuan dan kejayaannya dalam menghadapi masalah hidup manusia dalam segala aspeknya yang seluruh penduduknya Islam atau masyarakat majmuk, majoriti Islam atau minoriti Islam. Kenyataan yang ada pada Islam hendaklah diakui, dan keadaan yang ada pada ummat Islam kini tidak harus dijadikan alasan untuk menolak penyelesaian Islam tanpa dikaji sejarah dan latarbelakangnya.

Adalah tidak wajar bagi mereka yang mengaku Islam untuk membuat pilihan kepada penyelesaian yang lain. Kerana pengakuan Islam seseorang itu bermakna dia tidak membuat pilihan melainkan hanya Islam. Sama ada dia fahami hikmah, penyelesaiannya Islam atau tidak, kerana kepercayaan kepada Allah dan keRasulan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam menjadi pendorong utama untuk kembali kepada penyelesaian Islam dalam semua masalah. Kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk kembali kepada Islam dan berjuang pada jalanNya.

(Nota: Bab ini merupakan salah satu dari 3 bab di dalam buku yang bertajuk “Kemestian Penyelesaian Secara Islam”,
diterbitkan oleh Pustaka Damai, Kuala Terengganu, cetakan 1981)

Advertisements

Label:


%d bloggers like this: